Salah Satu Sistem Untuk Pastikan Tanaman Kekalkan Kualiti Hasil

3
13447

Sistem penggiliran tanaman (crop rotation) ialah pengaturan tanaman yang sistematik pada suatu tempat dan biasa dilakukan oleh petani serta mengambil tempoh di antara dua hingga lima tahun.

Tujuannya adalah untuk memperbaiki struktur dan kesuburan tanah, menambah hasil bagi setiap keluasan tanah, menjaga kesuburan tanah, memperbaiki tekstur tanah, menghindari peledakan hama dan penyakit tanaman. Walau bagaimanapun, bagi petani yang mengamalkan sistem penggiliran tanaman ini, pemilihan jenis tanaman memainkan peranan yang penting. Ini kerana, jika pemilihan dan penggunaan jenis tanaman adalah salah, ia berupaya menurunkan hasil tanaman berikutnya.

Sistem ini, turut diamalkan oleh Shahrom Tumiran, 44, terhadap tiga jenis tanaman yang diusahakannya iaitu tanaman timun, rock melon dan cili melalui kaedah fertigasi terbuka sejak empat tahun lalu. Menurutnya, konsep asal bagi ladang yang diusahakannya adalah ‘satu tanaman satu ladang’ namun mengubahnya kepada dua jenis tanaman pada satu musim di sebuah kawasan demi mendapatkan pensijilan Sijil Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) daripada Jabatan Pertanian.

“Walaupun tanaman rock melon mendatangkan keuntungan, namun kita tidak boleh menanamnya secara berpanjangan kerana kita perlu menjaga persekitaran daripada aspek serangan makhluk perosak.

“Oleh itu, kita perlu membuat kitaran dengan tanaman lain seperti timun dan cili bagi mengelakkan serangga yang sama menyerang tanaman rock melon dan menimbulkan masalah lain,” katanya kepada InfoAgro.

Selain mengamalkan sistem penggiliran tanaman, Shahrom juga menggunakan kaedah fertigasi terbuka bagi setiap tanaman yang diusahakannya itu. Katanya, kaedah fertigasi tidak memerlukan ruang yang luas untuk dipraktikkan kerana medium tanaman fertigasi hanya menggunakan sebuah beg plastik yang berisi tanah dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan.

“Kaedah fertigasi memudahkan untuk menyelenggarakan dan tanamannya juga tersusun selain mampu mendapatkan hasil berkualiti serta keuntungan lumayan berbanding kaedah konvensional.

“Apa yang penting, sayur-sayuran dan buah-buahan yang dihasilkan melalui kaedah ini lebih bernilai tinggi kerana ia ditanam dan dikendalikan secara sistematik,” katanya.
Tanaman timun

Ketika ini, Shahrom sedang menuai hasil tanaman timun yang disemai kira-kira tiga bulan lalu di atas tanah berkeluasan satu hektar (2 ½ ekar) di Meru, Klang. Menceritakan mengenai tanaman timunnya itu, beliau berkata, timun biasanya disemai dalam tujuh hingga ke lapan hari sebelum dipindahkan ke dalam polibeg dan mengambil masa selama 40 hingga 45 hari sebelum dituai. “Untuk timun sahaja, hasil tuaian mampu dicapai sehingga 27 tan bagi satu musim dan ia mampu menjana pendapatan RM33,000.

“Namun begitu, saya menghadapi masalah untuk memenuhi permintaan timun di pasaran lantas terpaksa mengehadkan pengeluaran bagi memastikan segala permintaan dapat dipenuhi,” katanya sambil memberitahu modal permulaannya ialah RM20,000 bantuan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Bagi mengatasi masalah berkenaan, Shahrom telah membahagikan ladang tanaman timunnya itu kepada tiga kelompok iaitu blok A (1,200 pokok), B (4,600 pokok) dan C (3,000 pokok) yang ditanam secara berperingkat.

“Bagi aktiviti penuaian yang sedang dijalankan ini, kita cuma ambil pengeluaran di blok B yang melibatkan 4,600 pokok.

“Aktiviti tuaian bermula pada 6 Mac lalu, dengan tuaian pertama sebanyak 160 kilogram (kg) melonjak kepada 260kg pada hari kedua dan menjangkakan hasil tuaian tersebut akan semakin meningkat sehingga 720kg pada hari-hari berikutnya,” katanya.

Menurutnya, sebahagian daripada hasil timun dipasarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melalui program Ladang Kontrak mengikut gred yang telah ditetapkan.

Melalui program tersebut, Fama menetapkan kuantiti tertentu dalam membeli dan memasarkan hasil beliau dan selebihnya akan dijual sendiri.

Selain itu, sayur timun beliau turut dipasarkan di pasar borong Klang di samping dibeli oleh pemborong tetap.

“Biasanya hasil tuaian, kita akan bahagikannya pada dua, satu bahagian dijual pada Fama dan satu bahagian lagi dijual sendiri.

Kita tidak akan ‘putuskan’ pembahagian ini kerana ia juga merupakan kepentingan untuk kita dalam memasarkan hasil,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sedang memikirkan untuk terus menyambung hasil pengeluaran timun agar tidak putus bagi satu tempoh jangka panjang dengan merancang untuk meluaskan kawasan tanaman tersebut.

“Kita sedang mencari satu tapak yang agak luas dan ia berkemungkinan besar akan dilakukan di Perak lantaran agak sukar mendapatkan tanah di kawasan Lembah Klang,” katanya yang mempunyai sembilan pekerja.

Sumber: Sinar Harian

SHARE