Tanaman Mini / Terarium Mesra Alam

134
1813
Lapisan dalam Terarium; Lumut hijau , Batu kecil atau kerikil, Kompos organik, Pasir sungai, Serpihan atau ketulan arang, Tanah liat mengembang (leca) atau guli.

Dedaun hijau menyegarkan ruang rumah. Terarium atau taman mini dalam bekas kaca akan mengindahkan mahligai anda. Berikut kami kongsikan, Pereka terarium, Hamzah Osman, menunjukkan cara menghasilkan terarium cantik,  ringkas lagi mudah yang boleh dicuba.

Apakah terarium?

Ia adalah taman comel merangkumi tanaman kecil yang boleh tumbuh dalam sebuah bekas kaca berbilang saiz sama ada tertutup atau terbuka.

Bagaimana Penjagaan Minimumnya ?

Terarium adalah pilihan terbaik untuk sesiapa yang sentiasa sibuk atau tidak mahir menjaga tanaman tetapi inginkan keindahan kehijauan dalam rumah.

Ini kerana ia menggunakan jenis tanaman yang boleh tumbuh dalam ruang dalaman dan tidak perlu memerlukan penjagaan yang kompleks atau memakan banyak ruang dalam kawasan rumah.

Anda hanya perlu menyiram tanaman sekurang-kurangnya setiap enam bulan, bergantung kepada saiz terarium anda.

Sebagai Perhiasan Mesra Alam

Tanam tanaman dalam sebuah bekas kaca tertutup tetap boleh membesar kerana ia mempunyai ekosistem yang mampu diri dan sama sepertimana hasilnya hujan. Air terkumpul pada kompos dalam bekas kaca. Cahaya lampu dalam bilik menyebabkan air itu menyejat lalu membentuk titisan air di bahagian tepi dan penutup kaca.

Titisan air itu menjadi lebih besar, lantas jatuh semula pada kompos. Proses putaran ini berterusan untuk membekalkan kelembapan dan khasiat kepada tanaman tersebut.

Tanaman pula akan tumbuh subur kerana hawa dalam bekas kaca panas dengan adanya gas karbon dioksida. Arang dalam terarium juga beraksi sebagai penapis untuk memerangkap semua kekotoran agar air lebih jernih untuk putaran yang selanjutnya.

Ayuh, Anda boleh cuba membuatnya sendiri!

Kini, anda boleh membuat terarium sendiri dengan botol kaca yang anda miliki di rumah. Ikuti langkah-langkah yang berikut :

Bahan – Bahan Asas : 

1. Tanaman jenis fittonia atau paku pakis (fern)

2. Serpihan atau ketulan arang

3. Tanah liat mengembang (leca) atau guli

4. Batu kecil atau kerikil

5. Kompos organik

6. Pasir sungai

Cara – Caranya ialah : 

1. Letakkan satu lapisan tipis tanah liat mengembang atau guli di dalam sebuah bekas kaca.

2. Masukkan serpihan arang untuk mengisi ruang-ruang  berlubang dalam bekas kaca. Anda juga boleh menggunakan seketul dua arang.

3. Taburkan selapis tipis pasir di dalam bekas kaca. Pastikan ia adalah pasir sungai yang boleh dibeli di kedai bunga. Jangan ambil pasir pantai kerana ia mengandungi baki garam yang boleh membunuh tanaman anda. Hiasi terarium dengan beberapa lapisan pasir putih dan hitam.

4. Letakkan sedikit lagi serpihan arang. Ia berfungsi mengeluarkan gas karbon dioksida yang membantu tanaman tumbuh serta boleh menyerapi sebarang bau.

5. Masukkan kompos organik (sekitar empat hingga lima sentimer) yang diperbuat daripada daun-daun kering yang sudah dirawat. Ukurannya mesti seganda lapisan awal dalam bekas kaca.

6. Kini, anda boleh menanam tanaman anda. Potong tanaman dan sisipkannya di dalam kompos sehingga ia tampak terletak lagi mantap.

7. Anda boleh menghiasi terarium dengan batu kecil, lumut hijau atau perhiasan comel. Pastikan anda menutupi ruangruang berlubang agar terarium kelihatan cantik.

8. Tuangkan sekitar setengah cawan air ke dalam bekas kaca. Usah tuang terlampau banyak air kerana anda hanya mahu melembapkan kompos, bukan memenuhinya dengan air.

9. Terarium sudah tersedia untuk anda cantikkan lagi ruang rumah anda. Anda boleh menutupi terarium dengan penutup bekas kaca atau plastik nipis. Cucuk beberapa lubang pada plastik nipis jika anda menggunakannya. Taman mini ini boleh bertahan sehingga enam bulan tanpa air.

Cara memotong tanaman terarium 

1. Untuk terarium tertutup:

Potong tanaman di bahagian batang sahaja. Jangan tanam dengan akarnya kerana akar itu boleh bertambah dan tanaman akan membesar dengan cepat.Pilih tanaman yang boleh tumbuh dalam ruang dalaman. Usah gunakan kaktus atau tanaman berbunga kerana ia tidak akan berbunga lagi. Bunga memerlukan matahari untuk tumbuh.

Tanaman boleh membesar dengan cahaya dalam bilik. Ia juga memerlukan cahaya buat tempoh sekitar enam hingga lapan jam.

2. Untuk terarium terbuka:

Anda boleh menanam tanaman dengan akarnya sekali. Jika anda lebih menggemari kaktus, ia boleh menghiasi terarium terbuka. Namun, kaktus bakal mati jika ditanam dalam terarium tertutup.

Tips-tips penjagaan terarium terbaik : 

• Anda mesti memastikan agar tangan anda kering sepanjang masa.

• Apabila anda menghasilkan terarium, anda mesti meninggalkan sekitar tiga suku ruang bebas dalam bekas kaca untuk membolehkan tanaman anda tumbuh. Baki suku ruang bekas kaca itu pula merangkumi lapisan bahan asas seperti kompos, pasir dan hiasan.

• Jangan gunakan tanah untuk menanam tanaman segar atau yang boleh dipakai semula. Ini kerana ia mengandungi serangga seperti ulat dan siput bahkan mampu menghasilkan cendawan.

• Anda tidak boleh meletakkan terarium tertutup di bawah cahaya matahari. Ini kerana tanaman akan menghasilkan sejat yang banyak. Anda perlu lap sejat tersebut agar ia tidak terjatuh pada tanaman dan menyebabkan tanaman busuk.

• Tempat terbaik untuk menanam tanaman dalam sebuah terarium tertutup adalah sebuah bilik berhawa dingin. Ini kerana bilik tersebut bercahaya lagi mempunyai udara dingin.

• Anda perlu memastikan agar tanaman tersebut mempunyai sekurang-kurangnya empat kelopak daun apabila anda memotong tanaman untuk menanam dalam bekas kaca.

• Anda tidak perlu meletakkan baja untuk tanaman terarium.

• Jika anda sudah memotong tanaman tetapi perlu meninggalkannya seketika, masukkan ia ke dalam sebuah bekas terarium tertutup yang lain.

Siapakah Hamzah Osman?

Hamzah Osman
42 tahun,
Pelukis seni bina

Bapa seorang anak ini mula berjinak – jinak membuat terarium sendiri hampir 25 tahun lalu. Ia berputik selepas beliau terbaca tentang seorang pakar perubatan, Dr Nathaniel Bagshaw Ward, yang menanam tanaman dalam bekas kaca. Hamzah yang membesar di sebuah kampung berjaya menghasilkan terarium selepas beberapa percubaan. Kini, sukarelawan Taman Hortpark itu telah meluaskan pengetahuan tentang alam semula jadi menerusi pelbagai kursus anjuran Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA). Pengetahuannya ingin dikongsi.

Anda Mahu belajar buat terarium?

Bentuk satu kumpulan, sekurang- kurangnya lima orang. Kami kongsikan anda boleh menghubungi En. Hamzah Osman menerusi laman rangkaian sosial, Facebook, harmo3 atau emel kepada harm69@gmail.com.

Harga: Sekitar $10 (bawa bahan-bahan asas sendiri); Sekitar $40 (bahan-bahan asas dan alat berkebun disediakan) dan beliau akan membimbing anda cara terbaik untuk penanaman dan penjagaan tumbuhan terarium ini.

SHARE