6 Tempat Percutian Menarik di Bangkok

135
1403

 

1. Sungai Chao Phraya

Tempat Percutian Menarik di Bangkok - Sungai Chao Phraya
Bot di Sungai Chao Phraya

Bila tengok gambar-gambar di Sungai Chao Phraya ni, sangat menarik sebab sambil-sambil naik bot dapat menikmati keindahan dan kehebatan binaan kondominium dan juga hotel-hotel yang menarik dari segi binaan dan hiasannya.

Sesetengah orang menggelarkan Bangkok sebagai “Venice Timur” kerana mempunyai Sungai Chao Phraya yang mengalir melalui Bangkok. Sungai ini boleh dikatakan nadi kepada Bangkok kerana terdapat sekitar 50 000 orang yang melakukan berbagai pekerjaan di atas bot-bot yang melalui sungai Chao Phraya ini.

Alamat: 780/488 Charoen Krung Road, Bang Kho Laem, Bangkok 10120

2. Grand Palace

Tempat Percutian Menarik di Bangkok - Grand Palace
Depan Grand Palace

Di Malaysia, saya pernah pergi 2 istana saja. Istana Negeri Sabah dan Istana Arau Perlis. Bila tengok gambar, Grand Palace sepertinya menarik untuk dikunjungi. Sekali pandang, teringat Prambanan Temple di Yogyakarta Indonesia yang dijadikan lokasi filem After the Dark (atau dikenali The Philosophers).

Grand Palace antara tarikan menarik yang ada di Bangkok. Istana ini pada satu masa dahulu merupakan kediaman Raja dan juga tempat dimana kerajaan Thailand menjalankan pentadbiran mereka. Rasanya kalau nak pusing-pusing jalan kaki, boleh patah kaki kerana keluasannya adalah seluas 214 000 meter persegi.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 3.30pm)
Alamat: Na Phra Lan Road, Phra Borom Maha Ratchawang, Phra Nakhon

3. Chatuchak Market

Saya bukan kaki shopping tetapi suka ke pasar terutama ketika di tempat baru sebabnya pasar boleh menggambarkan bisnes, budaya, dan pemikiran masyarakat setempat secara umum. Kalau di Perlis, Padang Besar wajib datang walaupun tidak beli apa-apa. Kalau di Bangkok pula, Chatuchak Market adalah destinasi yang wajib dikunjungi.

Tempat Percutian Menarik di Bangkok - Chatuchak Market
Sebahagian kecil Chatuchak Market
Sumber: Flickr Mark Fischer

Tetapi jika saudara tidak berkenan dengan membeli-belah atau bersesak-sesak di pasar, seperti di Padang Besar, ini merupakan tempat yang paling patut dijauhi kerana pada hari ia beroperasi iaitu pada Sabtu dan Ahad, sebanyak 200 000 pengunjung akan hadir setiap hari. Tidak mengejutkan kerana ia mempunyai 8 000 gerai di kawasan seluas 27 ekar yang merupakan salah satu di antara pasar terbesar di dunia.

Yang menariknya, semua boleh ditemui segalanya disini dan apa yang paling menarik adalah harganya mengikut pasaran setempat dan bukanlah harga yang kebiasaannya sedikit mahal untuk pelancong.

Waktu Operasi: Sabtu & Ahad (9.00am – 6.00pm) | Jumaat (6.00pm – 12.00am) | Seksyen Tumbuhan Rabu & Khamis (7.00am – 6.00pm)
Alamat: 587/10 Kamphaeng Phet 2 Rd, Khwaeng Chatuchak, Khet Chatuchak, Krung Thep Maha Nakhon 10900

4. Siam Paragon – Siam Discovery – Siam Center

Walaupun saya suka ke pasar untuk tengok-tengok, tetapi dalam masa yang sama tidak suka bersesak-sesak, kerana itu selalunya saya suka ke kompleks beli-belah. Tetapi bila berjalan dengan keluarga dimana ada 1 seorang mak, dan 3 orang adik perempuan, tidak akan menang tangan dan kaki. Tidak cukup 1 pasar, kena pergi ke pasar lain pula.

Jadi kepada kaki shopaholic, selain Chatuchak, kaki shopaholic juga patut kunjungi Siam Paragon yang merupakan sebuah syurga membeli-belah yang sangat terkenal dan mempunyai berbagai jenis kedai yang menawarkan bermacam-macam rekaan dan fesyen oleh pereka-pereka fesyen yang hebat. Siam Paragon, Siam Discovery, dan Siam Center sebelah menyebelah saja, jadi alang-alang baik pergi semua. (mampus la lelaki nak cari kerusi)

Tempat Percutian Menarik di Bangkok - Siam Paragon - Siam Discovery - Siam Center
Depan Siam Discovery ketika suasana malam

Disamping itu, ia juga menempatkan akuarium terbesar di Asia Tenggara dan panggung wayang multipleks yang besar serta banyak restoran yang menyediakan berbagai jenis makanan.

Terdapat lebih daripada 250 kedai di sana dan kebanyakannya dimiliki oleh orang ternama Thailand dan juga orang ternama luar negara. Di Siam Paragon juga terdapat “showroom” daripada pengeluar-pengeluar kenderaan mewah seperti Lamborghini dan juga Ferrari.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)
Alamat: 991, Rama 1 Road | Pathum Wan, Bangkok 10330

5. Stadium Lumpini atau Stadium Ratchadamnoen

Salah satu sukan yang sangat terkenal di Thailand adalah Muay Thai. Dulu-dulu, suka tengok cerita aksi lawan-lawan, terutama cerita Ong Bak lakonan Tony Jaa. Ada terfikir juga kalau pergi ke Thailand, mahu tengok perlawanan Muay Thai depan mata.

Tempat Percutian Menarik di Bangkok - Stadium Lumpini atau Stadium Ratchadamnoen
Perlawanan Muay Thai Mega Fight (MMF) – Stadium Lumpini atau Stadium Ratchadamnoen
Sumber: Facebook Bigtaxi Tour in Thailand

Di Thailand, seluruh pelusuk Thailand meminati perlawanan ini dan perlawanan terbesar biasanya mengambil tempat di Bangkok. Kebiasaannya perlawanan diadakan di Stadium Lumpini atau Stadium Ratchadamnoen.

Sebenarnya, saya tidak minat bola dan tidak pernah menonton bola di stadium, cuma pernah menonton bola bersama kawan di TV saja. Jadi diharapkan, meluangkan masa di stadium bagi perlawanan Muay Thai akan memberikan sebuah suasana yang sangat menarik dan penuh dengan aksi. Kerana sorakan penonton selalunya membuatkan bulu roma meremang kerana dapat merasakan semangat yang dibawa bersama sorakan tersebut.

Alamat: Stadium Lumpini atau Stadium Ratchadamnoen

6. Samutprakarn Crocodile Farm & Zoo

Teringat dulu saya pernah tinggal di Sandakan Sabah, ada Taman Buaya. Di Bangkok, ada Samutprakarn Crocodile Farm & Zoo. Ia dibina pada tahun 1950 sebagai taman buaya pertama Thailand. Kini, taman ini telah menjadi taman buaya terbesar di dunia. Taman buaya ini mempunyai lebih daripada 60 000 buaya dari berbagai spesis.

Tempat Percutian Menarik di Bangkok - Samutprakarn Crocodile Farm & Zoo
Pertunjukan di Samutprakarn Crocodile Farm & Zoo

Dulu saya suka tonton pertunjukan buaya di Taman Buaya Sandakan, di Samutprakarn Crocodile Farm & Zoo juga dapat tonton pertunjukan harian menangkap buaya dengan tangan kosong. Ngeri. Pertunjukan akan diadakan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan rehat pada waktu tengah hari. Disamping itu, pertunjukkan gajah juga ada dan menarik. Ia diadakan pada setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga jam 4.30 petang.

Seperti kebiasaan, taman buaya pasti ada haiwan lain bagi mengekalkan bisnes mereka. Di taman buaya ini juga ada haiwan-haiwan lain seperti penyu, ular, unta, badak air dan berbagai jenis spesis ikan. Paling menarik, di sini juga terdapat muzium dinosour yang mempunyai replika saiz sebenar lebih daripada 13 jenis dinosaur. Wow.

Alamat: 10280, 555 Thanon Thai Ban, Pak Nam, Mueang Samut Prakan District, Samut Prakan 10270, Thailand

Sumber : https://naziman.com/

SHARE