Ketahui Adakah Khasiat Air Kelapa Bagus dan bermanfaat untuk Anda?

1214
10660

Air kelapa menjadi minuman kesihatan yang dikenali ramai. Namun, adakah khasiat air kelapa tersebut benar-benar mengandungi nutrien yang sebenarnya? Adakah pula ia bagus untuk anda sebenarnya?

Apakah Itu Dan Khasiat Air Kelapa.

Air kelapa merupakan sejenis air yang berwarna jernih terkandung di dalam sebiji buah kelapa muda yang berwarna hijau. Saiznya pula seperti saiz sebiji bola keranjang. Secara idealnya, buah kelapa muda yang dipetik pada usia 5 hingga 7 bulan mengandungi lebih banyak air di dalamnya.

Apabila buah kelapa semakin masak, cecair tersebut akan bertukar menjadi isi kelapa. Khasiat yang paling baik adalah dengan meminum air kelapa muda bukan dengan penggunaan santan yang umumnya mengandungi nutrien yang lebih sedikit.

Air kelapa telah digunakan selama berkurun lamanya di kawasan negara beriklim tropika dan ia dipercayai berupaya untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Dalam bahasa Sanskrit, kelapa dikenali sebagai “kalpa vriksha” yang bermaksud “pokok yang memenuhi keperluan kehidupan.”

Dalam sesetengah situasi kecemasan, air kelapa digunakan untuk hidrasi IV disebabkan oleh kandungan elektrolitnya yang tinggi. Manusia di seluruh dunia bersama-sama menikmati pelbagai khasiat air kelapa tersebut selain daripada rasanya yang manis juga.

Baru-baru ini, khasiat air kelapa mula untuk diterokai kembali apabila para peniaga mula menggelarkannya sebagai “minuman sukan semula jadi” dan juga “minuman penyelamat”. Namun, persoalannya adakah dakwaan-dakwaan tersebut tentang air kelapa yang bagus untuk anda itu benar-benar betul?

Fakta Nutrisi Air Kelapa

Cacair yang terkandung di dalam buah kelapa mengandungi kira-kira 46 kalori bagi setiap cawan, 10 gram gula semula jadi, sedikit protein dan sudah tentu ia bebas lemak! Mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral dan pitokimia yang sangat sesuai untuk kesihatan manusia.

Khasiat utama yang terkandung di dalam air kelapa iala kalium. Ia mengandungi kira-kira 600 mg (12% DV) yang menjadikan ia merupakan minuman yang tinggi kadar elektrolitnya. Air kelapa juga mengandungi sejumlah kecil natrium, kira-kira 40  mg dan lebih kurang 10% daripada kalsium harian anda serta magnesium.

Elektrolit sangat penting untuk mengekalkan isipadu darah, kesihatan jantung begitu juga untuk mengelakkan dihidrasi. Mengekalkan paras elektrolit yang baik boleh membantu mengurangkan keletihan, tekanan dan membantu mengekalkan otot yang sihat.

Terdapat juga beberapa kajian yang menarik telah dilakukan terhadap kandungan sitokinin yang terdapat dalam air kelapa. Ia dikatakan memiliki ciri-ciri anti-kanser. Sitokinin merupakan hormon tumbuhan semula jadi yang dapat membantu mengurangkan pertumbuhan sel kanser walaupun kajian ini masih lagi memerlukan sedikit masa untuk mengesahkannya.

Dengan semua khasiat ini, adakah air kelapa bagus untuk anda? Jawapannya ialah ya! Jika anda benar-benar menyukai rasanya, ia mengandungi kalori yang rendah serta menjadi minuman alternatif bagi menggantikan minuman soda. Ia sangat menyegarkan sekiranya diminum pada waktu paans bagi merehidrat semula tubuh badan kita.

Antara khasiat lain air kelapa termasuklah:

  • Merendahkan tekanan darah.
  • Menurunkan berat badan.
  • Meningkatkan prestasi atlet.
  • Menambahkan tenaga.
  • Merendahkan kolestrol.
  • Mengurangkan selulit.
  • Merehatkan keteganan otot.

Air kelapa merupakan minuman yang selamat dan menyihatkan bagi semua orang. Bagi yang menghidapi penyakit buah pinggang perlu mengehadkan pengambilan air kelapa ini disebabkan kandungan kaliumnya yang tinggi. Sekarang, mari kita terokai kajian – kajian yang telah dilakukan berkenaan khasiat air kelapa ini.

Khasiat Air Kelapa

1.Penggantian Elektrolit: Air Kelapa vs Gatorade.

Disebabkan oleh air kelapa mengandungi kalium yang tinggi, ia menjadi pengganti elektrolit yang terbaik. Ia juga telah digunakan untuk hidrasi IV bagi sesetengah situasi kecemasan.Ia juga mengandungi karbohidrat yang lebih rendah berbanding minuman sukan yang lain.

Air kelapa hanya mengandungi kira-kira 4.5% karbohidrat sahaja berbanding minuman sukan yang lain di mana ia mengandungi 6-8% karbohidrat. Maka, air kelapa sangat bagus bagi para atlet yang ingin mengawal pengambilan gula dan hidrat selepas sesuatu aktiviti. Setelah penat bersenam, air kelapa sangat sesuai menjadi minuman hidrasi yang kurang gula.

Dalam satu kajian pada 2002 telah membandingkan antara air kelapa dengan minuman sukan untuk mengenalpasti minuman manakah yang paling terbaik selepas bersenam. Lapan orang telah diuji dengan melakukan senaman dengan suasana haba dan kemudiannya diberikan rihidrasi samada dengan air biasa, air kelapa atau minuman sukan.

Para pengkaji telah mendapati bahawa dari segi paras natrium, tidak ada perbezaan. Manakala penghasilan urin atau keseimbangan bendalir antara ketiga – tiga minuman, semuanya bersifat menghidratkan. Namun, terdapat perbezaan dari segi kesan sampingan seperti tidak loya dengan mengambil air kelapa sehingga membolehkan responden boleh minum lebih banyak lagi selepas itu.    

Secara umumnya, air kelapa boleh menjadi minuman alternatif kepada minuman sukan namun ia bergantung kepada jenis sukan yang dilakukan. Bagi para atlet yang terlibat dengan sukan yang berjarak jauh, ia lebih memerlukan produk yang lebih spesifik yang mengandungi natrium dan karbohidrat. Namun, bagi senaman yang biasa, air kelapa boleh menjadi pilihan yang terbaik.

2.Merendahkan Tekanan Darah.

Satu kajian pada tahun 2005 telah mendapati bahawa apabila subjek diberikan air kelapa selama dua minggu, kadar tekanan sistolik darah mereka menjadi 71% lebih rendah dan tekanan darah diastolik pula 29% lebih rendah berbanding mereka yang minum air biasa.

Kandungan kalium yang tinggi dalam air kelapa juga telah membawa para pengkaji untuk lebih mengkaji keupayaannya dalam mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Kalium bertindak balas dengan natrium di dalam tubuh badan sehingga membantu merendahkan tekanan darah.

3.Merendahkan Kadar Kolestrol dan Trigliserida.

Satu kajian pada tahun 2006 telah mendapati bahawa tikus yang diberikan air kelapa didapati telah mengalami pengurangan dari segi risiko serangan jantung. Air kelapa membantu untuk mengurangkan jumlah paras kolestrol trigliserida serta kolestrol LDL terutamanya kolestrol yang di jantung.

Tambahan pula, khasiat air kelapa juga membantu tikus makmal untuk lebih cepat sembuh jika ia tidak mengalami serangan jantung. Para pengkaji percaya bahawa khasiat air kelapa ini dikaitkan dengan kandungan kalium, kalsium dan magnesium di dalamnya. Semua ini merupakan elektrolit yang memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan kesihatan jantung.

4.Pembersihan / Detoks.

Tubuh badan kita memiliki keupayaan semula jadi untuk proses pembersihan atau detoks dengan sendirinya. Ia akan memberikan nutrien yang betul serta hidrasi. Hidrasi yang tidak mencukupi boleh membawa kepada pengumpulan toksin di dalam badan kita. Hal ini kerana hati dan buah pinggang kita sebagai organ detoks tidak dapat berfungsi dengan baik sekiranya ia mengalami kekurangan air.

Dihidrasi merupakan hasil daripada kesan kehilangan air atau elektrolit sehingga membawa kepada keletihan, mudah marah, kelesuan dan dahaga yang keterlaluan. Semua simptom ini merupakan kesan daripada buah pinggang tidak berupaya untuk membuang toksin daripada tubuh badan kita. Pengambilan bendalir yang sesuai ialah 8-10 cawan setiap hari bagi membolehkan untuk mencegah daripada gejala dihidrasi dan mengekalkan tubuh badan mampu menjalankan proses detoksifikasi secara semula jadi. Sungguhpun, hanya air kosong sahaja sudah cukup, kadang kala cuaca yang panas atau senaman yang berterusan menyebabkan tidak cukup sekadar air kosong sahaja.

Air kelapa mengandungi profil yang hampir sama dari segi elektrolitnya dengan darah manusia, menjadikan ia minuman yang sesuai untuk menggantikan bendalir dalam tubuh badan dan membantu mengeluarkan toksin daripadanya. Elektrolit seperti kalium, terutamanya boleh membantu mengelakkan beberapa kesan negatif disebabkan oleh diet yang tinggi natrium.

5.Mengurangkan Tekanan dan Ketegangan Otot.

Ia bagaikan seperti satu kesan urutan! Sesetengah daripada elektrolit yang terkandung dalam air kelapa terutamanya kalsium dan magnesium boleh membantu mengurangkan tekanan serta ketegangan otot. Ramai dalam kalangan kita yang tidak mendapatkan mineral yang sangat penting ini di dalam diet kita sehingga menjadikan pengurusan tekanan kita menjadi semakin mencabar.

Selain daripada mengekalkan kekuatan gigi dan tulang, kalisum juga membantu untuk memberikan kerehatan kepada otot. Pengambilan kalisum yang cukup boleh memberikan otot kita untuk berehat, termasuk juga otot pada bahagian jantung sehingga boleh mengurangkan risiko serangan jantung.

Magnesium juga memiliki nama panggilannya yang tersendiri iaitu “mineral yang melegakan”. Fungsi utamanya ialah pada sistem saraf parasimpatetik, satu bahagian daripada sistem saraf kita yang membantu kita untuk menjadi tenang. Ia juga membantu dalam pembentukan serotonin yang merupakan satu hormon ketenangan.

Magnesium dan kalisum bekerjasama untuk mengekalkan kerehatan otot. Air kelapa mengandungi kedua-dua mineral tersebut. Jadi, pengambilan air kelapa pada waktu yang tertekan boleh membantu anda untuk menjadi kembali tenang dan akhirnya bebas daripadanya.

Air Kelapa vs Santan Kelapa

Ramai yang masih keliru antara air kelapa dengan santan kelapa. Kandungan lemak dan kalori yang lebih tinggi dalam santan kelapa adalah berasal daripada isi kelapa yang telah diekstrak. Santan pula bersifat lebih likat, manis dan bahkan juga lebih tumpat. Ia juga turut kaya dengan nutrien dan lemak tepu yang sihat, namun tinggi dalam kandungan kalorinya. Satu cawan santan kelapa mengandungi kira-kira 552 kalori berbanding dengan satu cawan air kelapa yang hanya mengandungi 46 kalori sahaja!

Santan kelapa juga turut memiliki banyak khasiat dari segi kesihatan seperti kaya dengan kalium, manganese, magnesium, folat, kalsium dan selenium. Perlu diberi perhatian juga, dengan kandungan lemaknya yang tinggi, adalah penting untuk kita ingat bahawa asid lemak rantaian sederhana yang terdapat dalam lemak tepu juga turut baik untuk anda!

Ia boleh digunakan oleh otak anda tanpa perlu melalui sistem pencernaan. Jadi, ia mudah untuk diperoleh bagi kegunaan tubuh badan anda. Dengan rasanya dan teksturnya yang baik, ia turut menjadi pengganti kepada produk tenusu untuk pembuatan kek dan juga masakan!

Air Kelapa yang Terbaik untuk Dibeli.

Sekiranya ada, anda bolehlah mencari air kelapa di dalam buah yang segar dan hijau berbanding yang sudah dibungkus. Ia mungkin sukar untuk dikupas namun rasanya cukup enak! Ia juga tidak mengandungi gula tambahan, bahan pengawet dan juga tidak dipasturkan sehingga menjadikannya pilihan yang paling menyihatkan dan enak untuk anda.

Buah kelapa yang segar tidak dapat bertahan lama dan anda boleh menemuinya di bahagian sejuk beku dalam kedai yang menjual makanan kesihatan. Sekiranya ia telah dikopek, air kelapa tersebut perlu disimpan sejuk dan diminum dalam tempoh 3 hingga 5 hari.

Namun, jika anda tidak dapat mencari buah kelapa yang segar dan muda, pilihan kedua anda ialah air kelapa sejuk yang telah diproses melalui proses bertekanan tinggi berbanding dengan haba. Hal ini bertujuan untuk membuang bakteria dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan kandungan vitamin dan mineralnya.

Jika air kelapa tersebut tidak perlu disejukkan, berkemungkinan ia telah dipasturkan untuk mengekalkan kesegarannya. Ketika proses pempasturan tersebut, cecair di dalamnya dipanaskan di bawah suhu yang tinggi untuk membunuh mana-mana bakteria namun ia juga boleh memusnahkan banyak vitamin dan mineral semula jadi di dalamnya.

Elakkan daripada membeli air kelapa yang berasal daripada sebatian tepu. Secara umumnya, jika mana-mana buah-buahan atau sayuran yang dijadikan dalam bentuk tepu, ia akan kehilangan nutrien-nutriennya disebabkan proses tersebut. Sungguhpun begitu, adalah yang terbaik untuk memilih yang bukan dalam sebatian tepu.

Untuk menjadikan air kelapa lebih memiliki perisa, banyak syarikat minuman telah menambah pemanis atau perisa-perisa yang lain kepada kelapa. Selain itu juga, mereka menambahkan perisa untuk menyembunyikan bahawa mereka tidak menggunakan air kelapa muda padahal mereka menggunakan air kelapa tua yang memiliki rasa lebih pahit dan berasid.

Elakkan daripada menambah air kelapa dengan sebarang perisa atau gula. Bahan utamanya seharusnya 100% air kelapa tanpa ada penambahan mana-mana jus buah-buahan, bahan semula jadi atau tambahan atau juga apa-apa sahaja yang moleh mengubah keadaan asal air kelapa tersebut.

 

SHARE