BACA : Kenali 10 Pokok Yang Boleh Membunuh Anda!

17
1754

Dalam banyak-banyak tumbuhan di sekeliling kita, ada antaranya mengandungi racun yang boleh membunuh manusia.

Siapa sangka tumbuhan-tumbuhan ini hanya cantik dipandang bukan untuk dipegang.

Sempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut hari ini, kami senaraikan 10 jenis pokok paling bahaya di dunia.

1) Pokok Manchineel

Nama saintifik: Hippomane mancinella

Habitat: Pantai Florida dan di kebanyakan tempat di hutan tropika Amerika dan Hindia Barat.

Kegunaan: Batang pokok ini digunakan oleh tukang kayu di Carribean selepas dipotong dan dikeringkan. Getahnya pula boleh merawat penyakit edema dan buahnya digunakan untuk rawatan diuretik.

Ia disenaraikan sebagai pokok paling beracun di dunia oleh Guiness World Records.

Namanya pun sudah membawa maksud ‘epal kecil pembawa kematian’ memandangkan bentuk buahnya mirip epal.

Bahayanya pokok ini, sekiranya berlindung di bawahnya ketika hujan getah tumbuhan ini boleh menyebabkan tubuh manusia dipenuhi luka seperti terbakar. Malah, jika membakar pokok ini, asapnya boleh menyebabkan buta.

Zaman dahulukala, tentera Amerika Syarikat menyeksa tahanan Sepanyol dengan memaksa mereka berdiri di bawah pokok ini ketika hujan. Getah pokok ini juga digunakan sebagai racun anak panah untuk berperang.

2) Pokok Cicuta

Nama saintifik: Cicuta virosa

Habitat: Amerika Utara dan Eropah

Kegunaan: Penggunaan secara homopati tumbuhan ini untuk merawat kecederaan sementara pada bahagian kepala dan bahagian belakang badan seperti meningitis, epilepsi, eklampsia dan paralisis.

Juga dikenali sebagai Water Hemlock, bahagian bunga, batang dan akar tumbuhan ini mengandungi suatu sebatian yang beracun disebut cicutoxin.

Walaupun dalam jumlah sedikit, cicutoxin boleh menyebabkan kekejangan kemudian diikuti dengan kematian jika tubuh tidak mampu bertahan lagi.

Kematian biasanya disebabkan oleh kegagalan pernafasan atau fibrilasi ventrikel dan boleh berlaku hanya beberapa jam selepas penggunaan.

Menggigit akar tanaman ini sudah boleh menyebabkan kematian kerana akar pokok Water hemlock menyerupai lobak atau tanaman jenis ubi sehingga sering disalah anggap oleh manusia.

3) Pokok Jarak

Nama saintifik: Ricinus communis

Habitat: Mediterranean, Afrika timur dan India

Kegunaan: Walaupun bijinya sangat beracun, ia adalah sumber minyak yang penting dari segi ekonomi seperti minyak pelincir bagi industri aeroangkasa dan merupakan salah satu produk komersial yang paling awal.

Satu bijinya mampu membunuh seorang manusia dewasa dalam tempoh seminit!

Toksin yang dinamakan ricin didapati di seluruh pokok Jarak, tetapi tertumpu pada bijinya (minyak jarak dibuat daripadanya).

Satu biji mentah pokok Jarak cukup untuk membunuh manusia dalam masa dua hari, yang menjadikan tempoh kematian sangat panjang dan memeritkan.

Gejala pertama akan dialami dalam tempoh beberapa jam termasuk rasa seakan terbakar di dalam tekak dan mulut, sakit perut, cirit-birit berdarah dan muntah.

Punca akhir kematian adalah akibat dehidrasi.

4) Pokok Belladonna

Nama saintifik: Atropa belladonna

Habitat: Eropah, Afrika Utara, Asia Barat

Kegunaan: Diproses menjadi alat kosmetik terutama pembuatan maskara. Selain itu, tumbuhan ini digunakan untuk merawat kesakitan, kekejangan otot, anti keradangan dan

Pokok Belladona mengandungi tropane alkoids yang membahayakan.

Seluruh bahagian pokok Belladona adalah beracun tapi bahagian yang paling berbahaya adalah buahnya yang seperti enak dimakan.

Gejala yang terjadi akibat racun pokok Belladona adalah anak mata membesar, penglihatan menjadi kabur, sakit kepala, berhalusinasi dan kurang waras.

Atropine racun yang terkandung di dalam bunga ini mengganggu sistem saraf, gangguan pernafasan, berpeluh dan jantung berdegup laju.

5) Oleander

Nama saintifik: Nerium oleander

Habitat: Morocco, Portugal, Gurun Sahara dan Asia Tenggara

Kegunaan: Oleander banyak ditanam sebagai tanaman hiasan kerana kecantikan bunganya.

Oleander dikenali sebagai salah satu tanaman paling beracun di bumi, sering digunakan untuk membunuh diri di selatan India.

Sehelai daunnya sahaja sudah cukup untuk membunuh manusia dewasa apabila dimakan.

Tanaman ini mengandungi pelbagai jenis racun walaupun telah dikeringkan, seperti nerioside, rosagenin, oleandroside, saponins dan cardiac glycosides. 

Racun-racun tersebut merupakan racun yang mampu melambatkan denyutan jantung dan jantung gagal berfungsi.

Walaupun racun-racun tersebut terdapat pada semua bahagian, racun tertumpu pada bahagian getah yang kelihatan berwarna putih seperti susu.

Jika terkena kulit manusia, getah pokok Oleander boleh menghalang deria rasa luar kulit manusia sehingga menyebabkan kulit menjadi kebas atau hilang deria rasa.

6) Lily of the Valley

Nama saintifik: Convallaria majalis

Habitat: Asia, Eropah

Kegunaan: Banyak digunakan sebagai tanaman hiasan malah bunga ini pernah menjadi hiasan tangan ketika majlis perkahwinan Putera William dan Kate Middleton.

Bunga ini sangat beracun dan jika dimakan dalam jumlah yang banyak, boleh menyebabkan rasa sakit di mulut, muntah-muntah, kejang di seluruh tubuh dan cirit-birit.

Racun bunga ini juga boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung.

7) Autumn Crocus

Nama saintifik: Crocus sativus

Habitat: Eropah, Afrika Utara, Timur Tengah

Kegunaan: Tumbuhan ini diproses untuk menjadi rempah safron.

Mengandungi colchicine, ubat beracun yang biasa digunakan untuk merawat sakit sendi.

Racun yang terkandung di dalam bunga ini adalah sejenis dengan racun arsenik yang tiada penawarnya.

Keracunan pokok Autumn Crocus boleh menyebabkan hilang tekanan darah dan serangan jantung.

8) English Yew

Nama saintifik: Taxus baccata

Habitat: Eropah

Kegunaan: Penggunaan secara meluas sebagai agen anti kanser, pembuatan perkakas rumah dan tanaman hiasan.

Para pengkaji menganggapnya sebagai pokok yang pelik kerana semua bahagiannya sangat beracun kecuali kulit buahnya.

Racunnya boleh menyebabkan kelumpuhan dan pernah digunakan untuk proses mengugurkan kandungan yang selalu berakhir dengan kematian.

Racun utamanya adalah taxine atau taxane dengan molekul C20H36, 50 hingga 100 gram dos sudah cukup untuk membunuh seorang manusia.

Racun pokok English Yew biasanya bertindak dengan sangat pantas dan sehingga kini belum ditemui penawarnya.

9) Dendrocnide

Nama saintifik: Dendrocnide meyeniana

Habitat: Indonesia, Australia

Kegunaan: Penduduk Australia menggunakan pokok ini untuk membuat jaring.

Tumbuhan ini juga dikenali sebagai The Stinging Tree dan ia boleh membunuh manusia walau hanya menyentuhnya.

Ia boleh membesar setinggi 39 meter dan bulu-bulu pada daun dan batang pokok ini boleh menyebabkan kegatalan pada kulit.

10) Suicide Tree

Nama saintifik: Cerbera odollam

Habitat: Asia Tenggara, India

Kegunaan: Biasa diproses untuk dijadikan deodoran dan racun serangga.

Pokok ini mendapat namanya kerana buahnya yang beracun. Sebiji buahnya sudah boleh membunuh seorang manusia.

Sering tumbuh di kawasan paya bakau, pokok ini mempunyai bunga yang cantik berwarna putih dan buah yang kelihatan seperti mangga apabila sudah masak.

Buah pokok ini mengandungi cerberin iaitu sejenis toksin berbahaya yang boleh mengakibatkan kegagalan jantung dan kematian.

SHARE