China Berminat Tingkat Pembelian Minyak Sawit – Bai Tian

3
603

KUALA LUMPUR: Duta China ke Malaysia Bai Tian, berkata negaranya membayangkan kemungkinan meningkatkan pembelian minyak sawit dan produk berkaitan dari Malaysia tidak lama lagi.

Beliau berkata, China, pengimport terbesar minyak sawit dan produk berkaitan dari Malaysia, amat berminat untuk meningkatkan jumlah perdagangan produk itu dengan negara ini.

“Diharapkan tahun ini akan menyaksikan pembekal China akan membeli lebih banyak minyak sawit dan produk berkaitan dari Malaysia.

“Tolong doakan agar akan ada berita gembira tidak lama lagi,” kata beliau dalam pertemuan meja bulat dengan media Malaysia yang berlangsung di Kedutaan China di sini, hari ini.

Berita baik itu mungkin tiba seawal akhir bulan ini apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkunjung ke China bagi menghadiri Forum ke-2 Belt and Road untuk Kerjasama Antarabangsa, akhir bulan ini.

Beliau dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) di luar forum itu, termasuk yang membabitkan minyak sawit.

Bai Tian mengulangi bahawa China tidak pernah mengenakan had siling terhadap pembelian minyak sawit dan produk berkaitan Malaysia.

“Kami telah menggalakkan pembeli China agar membeli lebih banyak minyak sawit dan produk berkaitan Malaysia.

“Kami berpendapat minyak sawit Malaysia amat kompetitif dan berkualiti tinggi. Terdapat permintaan yang tinggi untuk minyak sawit dan produk berkaitan di China.

“China juga amat berminat dalam kerjasama hulu dan hiliran komoditi itu,” katanya.

Eksport minyak sawit Malaysia ke China meningkat 9.3 peratus kepada 1.81 juta tan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2018 berbanding 1.65 juta tan yang dieksport dalam tempoh sama pada 2017.

Pada 2017, Malaysia mengeksport sejumlah 2.87 juta tan minyak sawit dan derivatif minyak sawit bernilai RM9.42 bilion ke China. – BERNAMA

SHARE