Home Semasa Harumanis Ganti Kurma Menu Buka Puasa

Harumanis Ganti Kurma Menu Buka Puasa

0
126

KANGAR 17 April – Rakyat di negeri ini digalak menjadikan mempelam harumanis sebagai menu berbuka puasa bagi menggantikan kurma pada Ramadan nanti.

Pengerusi Pertanian dan Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob berkata, cadangan dan galakan tersebut juga sebagai alternatif sekiranya berlaku lambakan mempelam berkenaan khususnya pada bulan puasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menyediakan sebuah lori bagi memudahkan urusan penghantaran mempelam harumanis ke luar negeri dengan anggaran pengeluaran tahun ini sebanyak 2,100 metrik tan.

“Selain dijadikan menu berbuka puasa menggantikan kurma, antara kaedah lain bagi mengelakkan lambakan mempelam berkenaan khususnya pada Ramadan adalah seperti buah tersebut dijadikan menu wajib dalam majlis kerajaan seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub baru-baru ini.

“Selain itu, produk-produk harumanis juga boleh dijadikan sebagai cenderahati pada majlis-majlis khususnya pada Ramadan ini.

“Kita yakin sambutan orang ramai terhadap harumanis akan terus meningkat seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Selain itu kata beliau, para pengusaha harumanis juga tidak perlu bimbang mengenai isu lambakan ini kerana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membeli kesemua buah berkenaan yang tidak habis dijual.

Untuk rekod, pengeluaran harumanis akan bermula pada awal Mei ini sehingga penghujung Jun depan.

Sumber: UTUSAN ONLINE

SHARE