Jurutera Rancang Tanam 10,000 Pokok Lemon

18
613

JITRA: Kematian anak akibat leukemia lebih lima lalu, memberi tamparan hebat kepada seorang jurutera untuk berhenti kerja di Sweden dan seterusnya mengambil keputusan balik ke Malaysia bagi menjadi petani.

Bermula dengan tanaman buah tin, Zulkhairi Kassim, 53, berkata usaha menanam buah itu bertujuan mendedahkan orang ramai mengenai kebaikan buah itu yang dapat mencegah pelbagai penyakit.

Bagaimanapun, akibat kurang membuat membuat kajian, beliau gagal meluaskan tanaman itu berikutan memerlukan kos yang tinggi dan selepas tiga tahun Zulkhairi tekad untuk melakukan kajian sendiri mengenai tanaman lemon pula.

“Lemon dipercayai mampu mencegah pelbagai penyakit termasuk kanser dan jantung, kematian anak kedua saya telah memberi kesedaran kepada saya betapa pentingnya mencegah daripada merawat.

“Pada 2016, saya terbang ke Sicily, Itali, bersama beberapa agensi kerajaan dari Kedah melawat ladang lemon dan membeli 10 anak pokok lemon di sana dan setelah kembali saya cuba menanamnya di kawasan rumah dan melakukan penyelidikan sendiri selama dua tahun,” katanya yang menetap di Kampung Seberang, di sini.

Bercerita lanjut Zulkhairi atau lebih dikenali sebagai Zul berkata, dalam tempoh itu dia berusaha menghasilkan anak pokok lemon dan menjual anak pokok itu secara terkawal untuk menampung kehidupan.

Katanya, beliau tidak mahu terburu-buru terus menanam pokok itu secara komersial sehinggalah pada Oktober tahun lalu, apabila mula menanam sebanyak 1,000 anak pokok lemon di kawasan seluas satu hektar di Kampung Seberang Paya Empa, Derang, Pokok Sena.

“Pokok lemon memerlukan cahaya matahari yang terik serta di kawasan yang agak sejuk, Alhamdulillah tanah dan iklim di kampung berkenaan sesuai untuk ditanam lemon.

“Kini pokok lemon ini sudah mula berbunga dan ada yang sudah mengeluarkan buah, ia dijangka dapat dituai pada hujung tahun ini, jadi saya berhasrat menanam 1,000 lagi anak pokok di kampung berkenaan,” katanya.

Zulkhairi berkata, ladang lemon yang diusahakan kini mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang turut menawarkan kerjasama supaya lemon dapat ditanam di Pantai Molek, Beris, Sik.

Katanya, dengan keluasan kira-kira 10 hektar di Pantai Molek, beliau yakin dapat menanam 10,000 anak pokok lemon di kawasan itu dan menjangkakan Kedah akan menjadi pengeluar lemon terbesar di Malaysia.

“Ia juga sekali gus dapat mengurangkan jumlah import lemon yang saya difahamkan Malaysia mengimport buah ini 100 peratus dari luar negara terutama dari Australia, China, India, Afrika Selatan dan New Zealand.

“Justeru saya mengalu-alukan kerjasama daripada agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pertanian dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu saya memasarkan lemon ini nanti,” katanya.

Katanya, beliau turut yakin penduduk Malaysia selepas ini akan menjadikan penggunaan lemon sebagai pelengkap menu harian seperti yang diamalkan penduduk di Eropah dan Timur Tengah untuk mencegah penyakit.

SHARE