Ketum Berpotensi Merawat Masalah Ketagihan Dadah

1
377

ALOR SETAR: Ketum dilihat berpotensi dibangunkan sebagai kaedah alternatif bagi merawat masalah ketagihan dadah jenis opiat membabitkan heroin dan morfin dalam kalangan penagih.

Penyelidik Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Darshan Singh, berkata manfaat ketum sebagai rawatan alternatif itu diperoleh hasil kajian dan penyelidikan pihaknya sejak 2010, yang membuktikan tumbuhan itu berupaya menjadi komponen pengurangan kemudaratan terhadap opiat.

Berdasarkan kajian itu, katanya, ketum didapati mempunyai nilai perubatan yang tinggi dalam merawat masalah ketagihan opiat tanpa mendatangkan kesan buruk seperti rawatan lain termasuk kaedah rawatan terapi gantian (RTG) yang diamalkan ketika ini.

Selain itu, kajian awal pihaknya membabitkan penagih syabu di Kedah dan Pulau Pinang, menunjukkan kesan pengambilan dadah itu berupaya menurun secara sig-nifikan selepas mereka mengamalkan ketum.

Perlukan kajian klinikal

“Berdasarkan kajian awal, ketum menunjukkan potensi dijadikan rawatan alternatif bagi merawat ketagihan, namun kita memerlukan kajian klinikal yang sehingga kini belum berjaya dilakukan berikutan tiada dana diberikan kerajaan bagi tujuan terbabit.

“Kita memerlukan peruntukan untuk kajian klinikal bagi membuktikan bahawa ketum boleh digunakan sebagai gantian kepada methadone bagi merawat ketagihan opiat.

“Malah, kajian daripada penyelidik membabitkan profesor universiti di Amerika Syarikat (AS) turut melaporkan potensi ketum sebagai komponen pengurangan kemudaratan, selain boleh digunakan untuk merawat ketagihan opiat,” katanya kepada BH.

Dr Darshan berkata, sehingga kini kajian terhadap ketum dijalankan melalui ujian makmal terhadap kesan tumbuhan itu terhadap tikus, selain penyelidik menemu ramah sendiri penagih dadah di Perlis dan Kedah.

Kurangkan simptom gian

Melalui kajian itu, pihaknya mendapati, penagih menggunakan ketum untuk mengurangkan kebergantungan pengambilan dadah, selain boleh mengurangkan simptom gian, termasuk kesakitan.

“Ketum tidak mendatangkan kesan jangka panjang, selain tidak menjejaskan fungsi sosial, pembelajaran, tingkah laku jenayah, malah sebenarnya tumbuhan itu tidak menyebabkan ketagihan jika digunakan dalam jumlah betul.

“Jika ketum dicampur dengan benda lain seperti ubat batuk dan bahan larangan lain, ia boleh menyebabkan ketagihan, namun ketum pula dipersalahkan,” katanya.

Beliau berkata, tiba masanya kerajaan melihat potensi ketum kerana usaha mengharamkan tumbuhan ini dikhuatiri boleh menyebabkan peningkatan bilangan penagih dadah, khususnya dari jenis opiat.

Katanya, apa yang boleh dilakukan kerajaan adalah mengadakan program kesedaran komuniti berhubung kesan negatif penyalahgunaan ketum dan ketidakperluan penggunaannya terhadap individu yang sihat, selain tidak mempunyai masalah ketagihan dadah.

“Adakah ketum ini lebih bahaya daripada arak atau tembakau sehingga ia diberi lebih banyak perhatian (negatif) sedangkan kita sepatutnya menghargai kelebihan sumber yang ada di negara kita.

“Sebenarnya, peningkatan penggunaan ketum adalah cara alternatif penagih dadah mengurangkan ketagihan sebelum meninggalkan aktiviti itu, namun ia dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Kerajaan digesa komersial rawatan alternatif

Kerajaan digesa memanfaatkan potensi ketum untuk dikomersialkan bagi tujuan perubatan termasuk melaksanakan kajian terhadap bahan itu.

Pakar perubatan, Dr Azman Ismail, berkata usaha itu perlu apatah lagi negara mempunyai kelebihan tanaman terbabit khususnya di negeri utara Semenanjung.

Katanya, beliau yakin ketum berupaya dibangunkan sebagai rawatan alternatif bagi dadah jenis opiat, sekali gus berpotensi menggantikan rawatan terapi gantian (RTG) termasuk methadone seperti ditawarkan di klinik kerajaan.

“Ketum adalah satu tumbuhan yang unik sebab ia boleh digunakan bagi tujuan perubatan kerana khasiatnya yang mampu ‘membuang’ ketagihan terhadap dadah dengan cara lebih murah dan mampu memberi keselesaan kepada pesakit.

Rawatan lebih murah

“Kaedah rawatan alternatif itu diyakini mampu menyembuhkan penagih dadah dalam cara lebih murah berbanding yang dilaksanakan kerajaan melalui terapi penggantian kini,” katanya kepada BH ketika dihubungi, semalam.

Dr Azman yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah, antara individu yang lantang membangkitkan berhubung kebaikan ketum, termasuk ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, sebelum ini.

Difahamkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan RTG sejak 2005 bagi mencegah jangkitan dan penularan penyakit khususnya HIV/AIDS yang disebabkan oleh perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah.

Rawatan methadone diberi dalam bentuk cecair (sirap) yang dijual pada harga RM20 hingga RM50 bagi 25 mililiter (ml) hingga 30 ml.

Tidak jauh berbeza dengan kaedah pemberian RTG yang menggunakan pil dan cecair, Dr Azman berkata, ketum juga boleh diberikan kepada penagih dalam bentuk pil, kapsul dan cecair.

“Ia tergantung kepada hasil akhir kajian pakar farmakologi yang mana mereka akan menentukan bentuk yang terbaik sebelum boleh diberikan kepada penagih dadah sebagai rawatan, ” katanya.

Bagaimanapun, Dr Azman berkata, cadangan mengkormesialkan ketum hanya boleh direalisasikan jika wujudnya akta khas berhubung penggunaan ketum, yang mana ia turut harus mempunyai garis panduan dalam pengawalan penggunaan bahan berkenaan.

Pengusaha harus ada lesen

Beliau berkata, melalui akta khas itu, mana-mana pengusaha tanaman ketum haruslah mempunyai lesen dengan ia hanya dibenarkan ditanam bagi tujuan perubatan atau komersial.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah (PEAKS), Dr Zaki Zamani Abdul Rashid, pula berkata, sudah tiba masa kerajaan menubuhkan institut penyalahgunaan dadah kebangsaan.

Katanya, melalui institut itu, segala penyelidikan mengenai rawatan alternatif bagi dadah termasuk menggunakan ketum dan ganja boleh dilakukan dan diselaraskan di bawah satu agensi.

“Di AS, ganja memang digunakan untuk pesakit kanser, tetapi hanya melalui preskripsi pakar perubatan. Sementara ketum pula, kita tahu mempunyai banyak khasiat berdasarkan penggunaannya secara tradisional.

“Tetapi, ia memerlukan kajian supaya kita dapat menggunakannya secara saintifik untuk tahu dos dan diagnosis yang sesuai dengan preskripsi doktor,” katanya.

Sumber: Berita Harian

SHARE